Latest News

Tuesday, September 13, 2016

Hazli tabah biak anak angsa, ayam

PAGOH 19 Mac - Semakin sukar untuk melihat angsa dipelihara berbanding 30 tahun lalu yang banyak dibiak di kawasan kampung walaupun spesies burung berkenaan senang dijaga dan tidak mudah dijangkiti penyakit.

Kesukaran mendapatkan benih atau anak angsa kerana tidak banyak proses penetasan telur antara faktor utama angsa kurang dipelihara walaupun hakikatnya masih ramai yang berminat untuk memeliharanya terutama di kawasan kampung.

Menyedari tiada pengusaha bumiputera yang menjadi pembekal anak angsa dan potensi besar bidang tersebut mendorong seorang pekebun di Kampung Kechik, Bukit Kepong dekat sini, nekad mengusahakan pembiakan anak angsa.

Hazli Makmur, 41, mengakui berminat membekalkan anak angsa kerana bidang tersebut masih belum diterokai oleh kaum bumiputera di sekitar daerah Muar dan Segamat.

"Hasrat saya untuk memulakan usaha menetaskan telur angsa dan pelbagai unggas seperti ayam kacukan, itik dan ayam belanda mendapat galakan abang yang membantu mengeluarkan modal sebanyak RM15,000 setahun lalu.

"Wang tersebut saya gunakan untuk membina beberapa buah reban dan memagar kawasan belakang rumah berkeluasan 0.5 hektar selain mendapatkan induk angsa, itik, ayam dan ayam belanda," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kechik, baru-baru ini.

Pada awal pembabitannya dalam usaha tersebut, pelbagai cabaran terpaksa diharungi Hazli terutama ketika cuba menghasilkan alat penetas telur dengan berbekalkan pengalaman dan sedikit pengetahuan dalam bidang elektronik.

Kegagalan untuk mendapatkan bantuan mesin penetas telur memaksanya mencari jalan untuk menghasilkan alat tersebut dengan membuat rujukan menerusi internet dan beberapa kali menemui kegagalan semasa membuat penyelarasan suhu tepat alat tersebut.

Namun usahanya itu akhirnya berjaya menghasilkan alat penetas telur dengan modal kira-kira RM100 bagi sebuah mesin berkapasiti 60 biji telur berbanding alat tersebut dalam pasaran yang mencecah sehingga RM3,000 dan boleh menetaskan 500 biji telur dalam satu masa.

Dia pernah mengalami kerugian apabila ratusan telur angsa, itik dan ayam kacukan yang hampir menetas rosak akibat gagal menyelaraskan tahap kelembapan dalam alat penetas yang tidak tepat ketika usaha awalnya setahun lalu.

"Jika kadar kelembapan tidak mencukupi kulit telur akan menjadi keras dan anak angsa atau ayam tidak akan menetas dan rosak, sebaliknya jika kadar kelembapan mencukupi kulit telur akan menjadi lembut dan memudahkan proses penetasan," katanya.

Namun semua masalah tersebut berjaya diatasi dan dia kini mampu menetaskan kira-kira 300 biji telur pelbagai jenis unggas sebulan termasuk itik, ayam belanda, ayam kacukan dan ayam mutiara yang mendapat sambutan baik daripada pembeli.

"Daripada jumlah tersebut, kira-kira 20 hingga 30 biji telur yang menetas adalah angsa yang boleh dijual dengan harga RM80 seekor, sementara lain-lainnya bergantung kepada usia dan jenis bermula dari RM2.80 sehingga RM50 seekor.

"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mempunyai masalah memasarkan semua benih unggas yang dihasilkan dan berjaya memberi hasil pulangan yang boleh dikatakan lumayan, berbaloi dengan tenaga dan modal yang saya keluarkan," kata bapa kepada dua cahaya mata yang berhasrat menjadi pembekal anak puyuh suatu masa nanti.

Hazli mengakui memelihara angsa tidak begitu sukar kerana unggas itu tahan lasak dan tidak mudah dijangkiti penyakit selain tidak cerewet dalam soal makanan selain tidak memerlukan reban khas seperti ayam atau itik, cukup sekadar kawasan yang berpagar.

Bagi mengelakkan gangguan serta rasa kurang selesa dalam kalangan jirannya, dia sentiasa menjaga kebersihan kawasan reban selain memastikan ternakannya tidak terlepas dan mengganggu tanaman jiran.

"Walaupun setakat ini ternakan saya tidak pernah menyebabkan penularan atau dijangkiti penyakit, saya tetap memberi perhatian terhadap aspek kebersihan dan setiap hari akan membersihkan kawasan sekitar," katanya.

Menurutnya, ramai yang tidak tahu angsa sebenarnya boleh berfungsi sebagai ?pengawal? rumah kerana akan membuat bising jika melihat kehadiran orang atau binatang selain boleh menghindarkan ular kerana reptilia itu tidak suka dengan najisnya serta menjadi ?mesin rumput? di halaman rumah kerana angsa suka memakan rumput.




No comments:

Post a Comment